Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air untuk menyediakan penerbangan  tambahan di laluan terpilih. 

"Sebelum ini kita dengar banyak rintihan di Parlimen  khususnya daripada anggota(Parlimen)  Sabah dan Sarawak bahawa tiket penerbangan pada musim perayaan mahal. Maka, Mavcom menambah penerbangan ini atas permintaan syarikat-syarikat penerbangan. 

"Dengan penambahan penerbangan ini, kita berharap harga tiket penerbangan akan berkurang dan menjadi lebih mampu," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Antara laluan penerbangan tambahan itu termasuklah Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau,  Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terenganu, Alor Setar dan Langkawi.  

Bersempena Aidilfitri juga, Loke berkata enam perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ditambah setiap hari iaitu daripada 36 kepada 42 perjalanan. 

Beliau berkata pertambahan perkhidmatan ETS itu ialah pada 12-14 Jun dan 17-24 Jun dengan penambahan 19,800 tempat duduk. 

Sementara itu,  Loke berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahahthir Mohamad akan tampil dalam satu video pendek untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di jalan raya pada musim perayaan ini. - Bernama