Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, penerbangan sedia ada termasuk penerbangan syarikat Malindo Air bagaimanapun beroperasi seperti biasa. 

"Setakat ini kita belum dapat pastikan sampai bila laluan penerbangan AirAsia dari Melaka ke Pulau Pinang akan beroperasi semula.

"Laluan penerbangan syarikat tambang murah ini mengalami masalah teknikal pandu arah navigasi di terminal dan pihak terlibat sedang berusaha memulihkan keadaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap AirAsia berkata, ekoran masalah tersebut penerbangan Melaka - Pulau Pinang pada hari ini dan esok terpaksa dibatalkan dan dijangka beroperasi semula pada Sabtu ini. 

"Kita sedaya upaya memantau dan menyelesaikan masalah yang timbul. Sistem navigasi yang diguna tidak sama dengan syarikat penerbangan lain kerana pesawat berlainan," katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan seramai 132 penumpang penerbangan pesawat AirAsia  Melaka - Pulau Pinang terkandas di LTAM apabila perjalanan itu terpaksa dibatalkan ekoran masalah sistem navigasi di menara kawalan udaranya semalam.

Pesawat dengan kod AK6285 itu sepatutnya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada pukul 2.50 petang. 

Difahamkan, pihak AirAsia kemudian menyediakan beberapa buah bas untuk penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) bagi menaiki pesawat lain ke Pulau Pinang.

AirAsia memulakan operasinya di LTAM dengan memperkenalkan laluan baharu dari Melaka-Pulau Pinang dengan kekerapan satu penerbangan setiap hari bermula Isnin lalu. - K! ONLINE