Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, reptilia sepanjag hampir enam meter panjang itu berjaya ditangkap dan keluarkan dari perigi tersebut

Seorang penduduk, Mohd. Noor Irfan Mohd. Faizal, 15, berkata, kejadian itu disedarinya ketika sedang bekerja membantu bapanya, Mohd. Faizal Othman, 50, di dalam kebun kelapa sawit  di kampung itu.

"Mulanya, saya terdengar bunyi kocakan air di sebuah perigi lama berhampiran tempat kami bekerja macam ada benda besar jatuh dalam perigi.

"Ingatkan batu jatuh tetapi bila tengok dekat baru nampak ular besar tengah melingkar," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mohd. Noor irfan, dia yang terkejut apabila melihat reptilia itu kemudian bapanya memanggil kawan dan penduduk kampung untuk angkat dan tarik ular tu keluar.

Seorang lagi penduduk, Syahrul Karim, 22, berkata, ular berkenaan berjaya dikeluarkan selepas dijerut dan ditarik tujuh penduduk kampung.

"Memang berat, tapi sebab ramai yang tarik jadi masa nak keluarkan ular tu dari dalam perigi tidak lama. Saya ingatkan kecil tetapi bila tengok dalam perigi terkejut,” katanya.

Dia mendakwa, kawasan berkenaan memang merupakan sarang reptilia tersebut kerana sering kali dilihat meninggalkan jejak dalam kawasan kebun berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Sharol Suboh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pukul 6 petang.

"Kita kemudiaan menggerakkan lima anggota menaiki sebuah kenderaan dan sebuah lori yang tiba di lokasi dalam masa 15 minit. Apabila sampai, ular sawa tersebut sudah berjaya ditangkap penduduk kampung.

“Saiz ular sawa itu sepanjang enam meter dengan berat dianggarkan lebih 80 kilogram. Kita hubungi Jabatan Perhilitan dan Zoo Negeri Johor bagi menempatkan haiwan ini," katanya. - K! ONLINE