Seorang penduduk Taman Lahat Indah, Kamarulzaman Mohd. Isa berkata, ahli jawatankuasa KRT telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perkara tersebut namun masih tiada tindakan yang dibuat.

“Aduan telah pun dibuat kepada pihak berkuasa tempatan pada awal bulan lalu namun sehingga sekarang perkara ini masin tiada tindakan daripada pihak mereka. Kami berharap PBT di sini dapat melakukan suatu tindakan yang boleh menjamin keselamatan pengguna di jalan berkenaan.

“Para penduduk difahamkan, kes kemalangan jalan raya di Jalan Lahat meningkat setiap tahun dengan data terkini yang diperolehi kemalangan berlaku sehingga lebih 600 kes pada tahun lalu,” katanya.

Tamban Kamarulzaman, dua kemalangan maut berlaku di Jalan Lahat pada bulan Julai dan bulan lalu menambahkan lagi kerisauan penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Lahat Indah, Ahmad Kamarul Zaman Abdul Rahaman berkata, pihaknya amat berharap kerajaan negeri dan PBT dapat mengambil tindakan segera agar kejadian malang tidak berlaku kepada penduduk di dua taman tersebut.

Kosmo! Online pada 13 Jun lalu melaporkan, seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MBI, Chin Yee Hing berkata, pihaknya telah maklum mengenai masalah keselamatan yang dihadapi penduduk di dua taman ini.

“Perkara ini telah dibawa ke dalam mesyuarat namun perbincangan lanjut bersama unit kejuruteraan dan lalu lintas belum dibuat.

“MBI akan melakukan tinjauan dan kajian lanjut mengenai perkara ini sebelum sesuatu tindakan itu dilaksanakan,” katanya.

Katanya, dia sendiri menyokong tindakan segera diambil atas dasar keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya. -K! ONLINE