Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem tersebut akan bermula pada awal Jun ini melibatkan kos kira-kira RM60 juta.

Beliau berkata, proses naik taraf itu dijangka akan memakan masa kira-kira setahun dan sebahagian kosnya akan ditanggung oleh SPAN dan sebahagian lagi oleh pemaju iaitu, Gamuda Land Sdn. Bhd.

"Kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan penggantian paip sistem kumbahan sepanjang 16 kilometer dan menaiktaraf vacuum chamber (kebuk penyedut) dari jenis satu kebuk ke jenis kebuk berkembar.

"Kita yakin apabila ia siap kelak, masalah hampir 10 tahun yang membelenggu penduduk di dua kawasan ini akan selesai sepenuhnya,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Suruhanjaya SPAN, Datuk Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh dan Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanik, Caleb Khoo.

Menurutnya, bagi memastikan kerja menaiktaraf berjalan lancar, pihaknya akan menempatkan pegawai dari unit integriti SPAN sebagai anggota jawatankuasa bagi memastikan ketelusan proses tender dan pemilihan kontraktor."Kita jangkakan dalam tempoh tujuh bulan kerja-kerja naik taraf ini akan siap kira-kira 70 peratus dan jika tiada apa-apa halangan ia akan siap mengikut jadual yang telah ditetapkan,"jelasnya.

Sementara itu, Caleb berkata penduduk di kedua-dua kawasan itu kini boleh menarik nafas lega apabila masalah yang menghantui mereka sejak 10 tahun lalu kini hampir berakhir selepas kerja-kerja naik taraf itu akan dimulakan pada bulan hadapan.

"Sejak tahun 2008 kami (penduduk di kedua-dua kawasan) terpaksa menghidu bau busuk air kumbahan yang melimpah keluar di jalan sehingga memasuki rumah dan kolam-kolam takungan air.

"Pelbagai bantahan dan rundingan telah dibuat oleh penduduk dengan pihak berwajib sebelum ini namun tidak membuahkan hasil. Apabila SPAN dan pemaju bersetuju untuk selesaikannya kami amat lega dan berterima kasih," katanya. - K! ONLINE