Bantahan yang dibuat secara aman bermula pada pukul 3.30 petang tadi itu dilakukan susulan kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman yang menyatakan tanah seluas 6.4 hektar akan dibangunkan untuk perumahan transit mangsa kebakaran terbabit.

Wakil penduduk, Ashim Jamat berkata, rata-rata penduduk Kampung Darau menentang keputusan tersebut yang disifatkan menganggu kesejahteraan dan keharmonian penduduk asal pada masa akan datang.

"Kampung (Kampung Darau) ini sudah wujud beratus tahun dan didiami penduduk Bajau Samah. Sepanjang tinggal di sini kami memulihara tempat ini dan memastikan ekosistem dijaga dengan baik.

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita bahawa tanah lapang di sini akan dijadikan petempatan transit bagi penduduk yang terjejas dalam insiden kebakaran baru-baru ini," katanya ketika ditemui media sini hari ini.

Tambah Ashim, lebih mengecewakan apabila pihak kerajaan negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mahupun Mohd. Azis sendiri tidak memaklumkan kepada penduduk Kampung Darau mengenai cadangan petempatan transit terbabit.

Terdahulu, baru-baru ini tular dalam laman sosial, Mohd. Azis merangkap Menteri Dalam Negeri membuat kenyataan menerusi Facebook rasminya yang mencadangkan tanah lapang di Kampung Darau akan dijadikan perumahan transit bagi mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas pada Selasa minggu lalu. - K! ONLINE