Pengerusi Sutra 1, Wan Ismail Hashim berkata, gotong-royong itu bertujuan membanteras wabak denggi yang menjadi hotspot di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kempen ini akan digerakkan secara berterusan untuk mencegah wabak denggi yang selalu mengancam nyawa penduduk di kawasan perumahan di sini.

“Aktiviti ini juga diadakan selepas rentetan aduan kepada pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengenai longkang yang tidak diselenggara dengan baik dan menyebabkan takungan air dalam tempoh yang agak lama,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk Zon 8 Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin.

Dalam pada itu, Khairul berkata, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut turun padang bagi membantu kerja pembersihan di kawasan itu sambil memeriksa keadaan pili bomba.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada PBS yang secara sukarela turun membantu inisiatif penduduk di sini serta memeriksa keberkesanan pili bomba lama di kawasan ini.

“Selain mengeratkan perpaduan dan semangat kerjasama, program ini juga bertujuan menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan di kawasan persekitaran yang kita diami bersama,” katanya. - K! ONLINE