Wakil persatuan, Datuk Fahriz Zaini, 40, berkata, jika dibiarkan aktiviti penerokaan tersebut boleh melenyapkan khazanah alam negeri selain mengganggu ekosistem hidupan liar memandangkan hutan berkenaan adalah sebahagian daripada hutan simpan kekal Bukit Cerakah (Taman Botani Negara).

Katanya, kerja-kerja penerokaan itu juga mencetuskan rasa bimbang penduduk apabila semakin banyak haiwan liar yang kehilangan habitat memasuki kawasan rumah mereka berikutan jaraknya hanya beberapa ratus meter dari kawasan hutan tersebut.

"Aktiviti penerokaan hutan itu setakat ini kami anggar mencapai keluasan 546 hektar. Ia disedari penduduk pada awal Ramadan lalu namun dilihat semakin rancak dijalankan susulan beberapa letupan untuk memecahkan batu didengari sejak Isnin lalu.

"Kami tertanya-tanya tentang kegiatan syarikat pemaju itu kerana tiada sebarang papan tanda pembangunan dinaikkan di lokasi. Adakah penerokaan hutan tersebut yang dikatakan untuk pembinaan rumah berjalan secara sah atau atas tujuan mendapatkan kayu-kayan?" katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama