Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dikejarkan ke lokasi selepas menerima aduan daripada penduduk berhubung penemuan itu pada pukul 9.40 pagi. 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan itu mendapati dua objek tersebut merupakan bom tangan asap yang fizikalnya masih lengkap mempunyai pin keselamatan.

"Laporan telah dibuat oleh pemilik rumah berkenaan berusia 43 tahun yang menemukan dua butir objek seperti bom tangan ketika dia membersihkan rimbunan pokok di hadapan rumahnya yang disewakan sebelum ini. 

"Sepasukan UPB telah dikejarkan ke lokasi dan mendapati objek tersebut adalah bom tangan asap yang masih aktif, namun pemeriksaan lanjut tidak mengesan sebarang nombor siri atau rekod untuk semakan," katanya pada sidang media di Taman Bunga Raya di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, bom tangan asap itu yang kebiasaannya digunakan dalam latihan pasukan polis dipercayai telah berada di lokasi itu lebih dari dua minggu. 

Jelasnya, kedua-dua objek itu yang mempunyai berat antara 200-300 gram setiapnya telah telah dialihkan dan dibawa ke IPK untuk dimusnahkan oleh pasukan UPB.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya membuka Kertas Enquiry Polis ( KEP) untuk menentukan sama ada wujud kesalahan jenayah atau tidak dalam kes tersebut.

"Sekiranya kita dapati wujud kesalahan jenayah, KEP tadi akan diklasifikasikan semula menjadi Kertas Siasatan (KS) dan siasatan akan diteruskan mengikut seksyen kesalahan jenayah yang berlaku," katanya. - K! ONLINE