Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mereka juga perlu mengubah persepsi bahawa aktiviti bertani hanya boleh dilakukan di kawasan luar bandar yang mempunyai ruang kawasan tanaman yang luas.

"Pertanian bandar merupakan konsep baharu tapi ia perlu digalakkan dalam kalangan masyarakat bandar kita dan jangan pernah memikirkan pertanian hanyalah untuk kawasan luar bandar sedangkan sebenarnya setiap ruang yang ada boleh digunakan bagi pertanian.

"Hari ini kita dapat lihat di Flat Desa Keluarga Kampung Fikri, mereka menggunakan tanah yang terhad bagi tujuan pertanian dengan adanya komuniti itu memperlihatkan kerjasama antara mereka akhirnya menghasilkan sesuatu yang berfaedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada  Majlis Sentuhan Kasih Tani Program Pertanian Bandar di Flat Desa Keluarga Kampung Fikri di sini hari ini. - Bernama