Pada awal tahun lalu, beliau mengisytiharkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ‘lapuk’. Beliau mendakwa perikatan itu tidak meliputi aspek antikeganasan walhal NATO sudah terlibat memerangi pengganas sejak tahun 1980 lagi dan menjadi lebih rancak, selepas serangan pengganas ke atas AS pada 11 September 2001.

Namun Presiden AS berusia 72 tahun itu kemudian mengubah fikiran dan memberitahu sidang akhbar bersama Setiausaha Agung pertubuhan tersebut, Jens Stoltenberg bahawa NATO tidak lagi lapuk.

Pendirian Trump yang sering berubah meme­ningkan White House. Ketika situasi di Asia gen­ting ekoran tindakan provokasi Korea Utara yang melancarkan peluru berpandu antara benua dan jarak sederhana mengenai perairan Jepun, ditambah pula dengan ujian nuklear keenam Pyongyang, Trump tampil memberi amaran keras kepada Kim Jong-un bahawa Korea Utara akan ‘dibakar api dan kemarahan’ AS.

Hakikatnya kesabaran strategik Washington ada batasannya. Hampir dua bulan kemudian pada Ogos 2017, beliau memuat naik komen bahawa AS bersiap sedia dan boleh menyerang Korea Utara pada bila-bila masa sekiranya Pyongyang tersilap langkah manakala pada September 2017, beliau menegaskan bahawa pintu rundingan kepada Pyongyang sudah tertutup.

Trump maju setapak lagi apabila beliau mencerca Jong-un dan menggelarnya lelaki roket dalam misi bunuh diri. Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, semua itu seolah-olah tidak lagi signifikan dan dilupakan apabila Trump memuji Korea Utara dan Jong-un.

Beliau malah bersetuju untuk mengadakan run­dingan empat mata di Singapura yang dijadualkan pada Jumaat ini walaupun pernah membatalkan sidang kemuncak AS-Korea Utara itu pada 24 Mei lalu.

Trump mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliaulah pakar sesuatu isu namun, beberapa hari selepas itu dan kadang-kadang keesokan harinya, beliau mengubah pendirian selepas mendapat idea baharu.

Sekutu rapat AS seperti Kesatuan Eropah, Kanada, Mexico dan Jepun menerima bahana akibat dasar separuh masak Trump. Pemimpin blok dan negara tersebut marah selepas Washington menukar pendirian mahu mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium mereka walaupun sebelum ini Trump bersetuju memberikan penangguhan sementara rundingan mengenainya diadakan.

China juga terkena tempias Trump apabila Washington mengulangi untuk mengenakan semula cukai import berjumlah AS$50 bilion (RM193 bilion) ke atas import China Sebagai tindak balas AS berhubung dakwaan perbuatan mencuri harta intelek dan teknologi oleh Beijing.

Apapun, sikap berubah-ubah pendirian bukanlah contoh kepimpinan yang baik kerana ia bukan sahaja mencalarkan imej AS di mata dunia malah memberikan pandangan kepada sekutunya Washington bukan tempat untuk mereka bergantung.