Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementerian komited memberi akses pendidikan kepada MBK supaya mereka boleh berdikari seterusnya menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. 

Katanya, sekolah menengah pendidikan khas vokasional itu kini terdapat di Inderaputra, Johor; Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Merbok, Kedah. 

"Semua guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas vokasional ini telah ataupun sedang diberi latihan SKM Tahap 3 bagi membolehkan mereka mengajar sebagai guru bertauliah dalam bidang kemahiran," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai sejauh mana kerajaan memberi perhatian dan galakan kepada golongan berkeperluan khas dalam bidang teknik dan vokasional serta sistem prasarana yang berkesan untuk membolehkan mereka menjalani latihan vokasional. - Bernama