Pendidikan tidak terhad kepada pembelajaran di sekolah sahaja, malah ia berterusan sehingga ke akhir hayat dalam usaha mengorak tahap ketamadunan yang tinggi.

Sejak merdeka, negara menyaksikan pelbagai perubahan dasar sistem pendidikan negara. Sei­ring dengan arus zaman, ia harus diubah untuk membantu murid menyesuaikan diri dalam cabaran pada abad-abad mendatang.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai visi dan misi dan jelas untuk meletakkan negara dalam kalangan satu pertiga ter­atas antara negara yang mempu­nyai sistem pendidikan terbaik dunia menerusi pelan pendidikan komprehensif yang telah dibuat iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, sua­ra hati guru, pentadbir sekolah dan setiap pihak berkepentingan.

“Walaupun setiap polisi pendidikan telah direncana, dirintis dan disahkan keberkesanannya, namun di peringkat pelaksanaan kita berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Justeru, saya amat prihatin terhadap tugas dan peranan yang perlu digalas oleh para pelaksana dengan memberikan soko­ngan serta bantuan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas demi membangunkan murid yang bersedia dengan cabaran masa hadapan,” katanya di Putrajaya baru-baru ini.

Turut menjadi tum­puan Mahdzir adalah akses pendidikan kepada murid di kawasan luar bandar dan pedalaman; mengurangkan beban guru; Pendi­dikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejurute­raan dan Matematik (STEM).

“Masyarakat tidak lagi mempunyai pemikiran konvensional iaitu mendapatkan ijazah sebelum be­kerja, malah murid digalakkan untuk mengisi pasaran kerja kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran boleh didapati pada bila-bila masa melalui Pengakreditan Pem­belajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” ujarnya.

Inisiatif 2017

Meskipun 2017 diwarnai dengan permulaan yang mencabar ekoran kejatuhan harga minyak dunia dan kemelesetan ekonomi global, namun kekangan kewangan tidak menghalang KPM untuk memacu peningkatan sistem dalam Gelombang 2 PPPM 2013-2025.

Inisiatif PPPM telah disusun dengan rapi dan dijajarkan dengan peruntukan sedia ada bagi memastikan tercapainya keberhasilan semua inisiatif yang dirancang. Dalam Gelombang 2, KPM sudah mula merancakkan lagi segala perubahan yang dirancang dalam Gelombang 1, khususnya pergerakan pengetua, guru besar dan guru kepada pakej kerjaya baharu.

Mengulas mengenai usaha-usaha KPM sepanjang 2017, Mahdzir berkata, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama dan negara ketiga Asia selepas Jepun dan India yang ditawarkan mejadi Negara Tetamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada awal tahun ini.

“Beberapa tokoh tempatan diundang bagi membentangkan kertas kerja berkaitan idea strategik dalam pembangunnan seperti modal insan dan ekonomi,” tambah beliau.

Tidak lupa juga berkenaan hal-ehwal kebajikan guru, Mahdzir menyatakan, sebanyak 11,606 permohonan pertukaran guru ‘duka lara’ dari Januari 2016 hingga Janua­ri 2018 telah diluluskan.

“KPM amat berharap dengan langkah-langkah yang diambil tersebut dapat menyelesaikan ba­nyak masalah berkaitan ketidak­puasan yang timbul dalam kala­ngan guru-guru kita.

“Dengan langkah-langkah yang diambil ini juga, KPM juga berharap agar guru-guru dapat me­numpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa,” jelas beliau.

Dalam aspek perpaduan antara murid pelbagai kaum, KPM juga telah bertindak melakukan kajian menyeluruh dalam sistem pendidikan yang membabitkan silibus dan program di sekolah untuk memantapkan tahap perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum.

Menurut beliau lagi, KPM telah mengambil langkah proaktif de­ngan mengarahkan penyediaan Peti Aduan Disiplin Murid di semua sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan pelajar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku dalam kalangan mereka di dalam dan luar kawasan sekolah.

“Melalui peti aduan ini, pelajar boleh melaporkan walaupun dia tidak tulis nama sekurang-kurang­nya jika ada perkara yang diketahui, ia boleh disalurkan kepada pihak sekolah dan kementerian.

“Sebagai contoh, dia tahu ada aktiviti tidak sihat di sekolah tetapi ia tidak dapat dikesan oleh pihak sekolah,” katanya.

Pendidikan Abad Ke-21

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21) harus diukur dengan kemenjadian murid yang merupakan klien utama KPM selain ibu bapa.

“Semua warga pendidik seharus­nya bertanggungjawab melahirkan insan yang mengamalkan KBAT, bukan untuk tujuan lulus peperiksaan semata-mata tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.”

“Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) seharusnya memastikan ciri-ciri guru abad ke-21 seperti me­nguasai kan­dungan kurikulum, berkemahiran, berke­terampilan dalam pedagogi, menggunakan teknologi terkini dan memahami perkembangan murid dan menyayangi mereka.

“Guru juga harus memahami psikologi pembelajaran serta memiliki kemahiran kaunseling.

“Dalam membicarakan PAK21, kita banyak mendengar penekanan diberikan kepada kalangan pendidik. Kita jarang-jarang mendengar pe­ranan PPD dikupas dengan panjang lebar. Sebenarnya, PPD merupakan individu terpenting dalam memastikan kelangsungan dan pelaksanaan PAK21 di setiap sekolah,” tambah Mahdzir.

Jelas Mahdzir, aspek 4C iaitu Communication (Komunikasi), Critical Thinking (Pemikiran Kritikal), Collaboration (Kolaborasi) dan Creativity (Kreativiti) menjadi petanda penting kewujudan PAK21 dalam sesebuah pengajaran dan pemudahcaraan. Kebanyakan negara barat menambah satu C lagi iaitu Compu­ter atau literasi komputer.

“Kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid dalam PAK21 ini terma­suklah kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi serta kemahiran hidup dan kerjaya. Ketiga-tiga kemahiran ini perlulah dipastikan ada dalam kalangan anak didik kita.

“Elemen-elemen seperti kreativiti dan inovasi, fleksibiliti dan keupayaan menyesuaikan diri seharusnya diberi penekanan. Pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, berinisiatif serta mempunyai haluan komunikasi dan kolaboratif sepatutnya ada dalam sesebuah kelas PAK21,” katanya.

Mahdzir memberitahu, PAK21 menjurus kepada mewujudkan murid-murid yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Justeru, semua warga pendidik seharusnya bertanggungjawab me­lahirkan insan yang mengamalkan KBAT, bukan untuk tujuan lulus pe­periksaan semata-mata tetapi mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Dengan kata lain, kita perlu mementingkan masa hadapan murid kita. Apabila murid kita sudah cukup dewasa untuk memasuki pasaran kerja, industri ataupun majikan tidak lagi mempunyai masa untuk melatih mereka kerana latihan itu melibatkan masa dan kos yang tinggi.

“Sistem pendidikan kita perlu menghasilkan modal insan yang sedia untuk terus bekerja serta me­nyumbang tenaga kepada organisasi tersebut,” katanya.