Ini kerana kekurangan Sekolah Menengah Agama (SMA) bagi menampung permintaan yang tinggi setiap tahun dalam kalangan para pelajar dan ibu bapa di ibu kota.

Ketika ini cuma ada dua buah institusi pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA).

Satu lagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan ia­itu SMA Kuala Lumpur yang menawarkan program Ulul Albab.

Selepas komentar itu disiarkan pada 26 Januari 2018 penulis cuba membuat susulan dengan pihak berwajib.

Ada berita gembira buat ibu bapa di Kuala Lumpur, penulis dimaklumkan oleh seorang pegawai tinggi di MAIWP bahawa pihak berkuasa agama itu bercadang membina SMISTA di satu tapak milik mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

SMISTA ketika ini berkongsi bangunan SMA MAIWP di Bandar Tun Razak, Cheras dan memiliki hampir 300 pelajar.

Pegawai itu memberitahu, perkara tersebut masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan selain mengambil masa untuk direalisasikan.

“Ini adalah projek besar dan perlu melalui beberapa proses sebelum boleh dimuktamadkan. MAIWP juga perlu menilai cadangan ini de­ngan teliti,” katanya.

Penulis dan ibu bapa di Kuala Lumpur sangat berharap biarpun mengambil masa lama, cadangan tersebut dapat direalisasikan kerana tiga buah SMA tidak mencukupi bagi menampung permintaan tinggi terhadap pendidikan agama di peringkat menengah.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini me­ngumumkan untuk membuka peluang kepada para pelajar lepasan sekolah tahfiz di seluruh negara melanjutkan pe­ngajian di peringkat tinggi di universiti itu.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, usaha itu selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan 125,000 golongan huffaz profesional yang mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu sekali gus melengkapkan sebahagian sasaran Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Penulis menyambut baik peluang itu, namun di peringkat menengah masih terdapat kekurangan dan diharapkan peranan tersebut dapat digalas oleh Kementerian Pendidikan menerusi pembinaan sekolah baharu atau menaik taraf Kelas Aliran Agama (KAA) yang ditawarkan di 17 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kuala Lumpur.

Ini kerana bagi penulis, pendidikan agama dan tahfiz penting bagi melahirkan modal insan yang berintegriti dalam pelbagai bidang profesional untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

Mengimbas proses pendidikan ulama terdahulu, Ibnu Sina yang lahir di Bukhara (kini Uzbekistan) pada 370 Hijrah atau 428 Masihi me­ngaji agama dan hafal al-Quran dahulu sebelum menjadi ahli sains dan perubatan.

Abd. al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun atau Ibnu Khaldun belajar agama dan hafal al-Quran dahulu sebelum menjadi pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 hingga 1395.

Pada zaman kita, Datuk Dr. Afifi al-Akiti, 42, dari Batu Gajah, Perak memulakan pengajian di sekolah pondok dan kini merupakan pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi di institusi pendidikan antara paling berprestij di dunia, Universiti Oxford, United Kindom.

Proses pendidikan ini terbukti berjaya melahirkan modal insan berkualiti dan ia wajar dipraktikkan dalam sistem pendidikan negara era ini selari dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu menyelaraskan sistem pendidikan dalam usaha menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).