Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pengurusan TH yang lebih baik ketika ini selain pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan.

"Saya minta orang ramai (pendeposit) terus yakin dengan TH, terus kekal dengan TH. Kita ada pelan besar untuk TH. Kerajaan komited membantu TH menerusi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion.

"Saya yakin dengan suntikan ini dapat mengekalkan kepercayaan orang ramai kepada TH. Sekarang ini baru fasa pertama pemulihan dan sudah susun perjalanan pengurusan TH yang lebih baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena program 'Bicara Eksekutif Maqasid Syariah peringkat Selangor' di auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau akan memberi kenyataan rasmi berhubung kedudukan terkini TH pada sidang Parlimen esok.

"Saya sudah menghubungi Speaker (Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof).
Insya-Allah saya dah masukkan permintaan (membuat kenyataan rasmi ke dalam bilik speaker.

"Saya harap esok saya dapat beri kenyataan rasmi berhubung isu TH," katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, TH mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada pendeposit sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta bagi tahun kewangan 2018 yang dianggap paling rendah dalam sejarah TH.

Pengisytiharan hibah untuk tahun ini boleh dibuat berdasarkan prestasi TH yang berjaya memenuhi dua syarat iaitu mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti yang memenuhi Akta Tabung Haji 1995 (Akta TH). - K! ONLINE