Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pendedahan itu juga tidak bermaksud mahu memburukkan imej kerajaan terdahulu.

"Tujuan kita sekadar mengingatkan kerajaan bahawa inilah kedudukan hutang langsung dan liabiliti yang kita ada supaya kita dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih bijak dan 'prudent' supaya kita mendapat 'value for money' bagi setiap projek yang kita laksana untuk kebaikan rakyat," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaaan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkaitan hutang negara.

Beliau berkata langkah kerajaan dalam mengambil kira kesemua hutang dan obligasi adalah lebih berhemah dan realistik khususnya daripada aspek pengurusan kewangan negara.

"Langkah ini adalah untuk memastikan sebarang keputusan yang diambil kerajaan adalah lebih menyeluruh dan tidak membebankan kedudukan kewangan kerajaan berdasarkan maklumat yang lebih tepat dan komprehensif," katanya.

Amiruddin berkata keyakinan pelabur dalam jangka sederhana dan panjang juga akan lebih kukuh berikutan langkah kerajaan yang lebih cekap, bertanggungjawab dan telus. - Bernama