Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waythamoorthy berkata, sikap demikian akan menimbulkan perasaan tidak senang dalam masyarakat negara ini yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan pegangan.

Beliau turut senada dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan terkilan mengenai isu penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang sering di anggap merendah-rendahkan agama lain dalam ceramahnya.

"Saya setuju kenyataan Mujahid mengenai Zakir Naik kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, malah bukan sahaja Zakir Naik tetapi sesiapa sahaja pendakwah Islam dan bukan Islam termasuk Hindu yang masuk ke negara ini dan merendah-rendahkan agama lain tidak boleh diterima dan dibiarkan berlaku.

"Amatlah penting hal ini difahami dan semua pihak perlu hormat-menghormati antara satu sama lain,"katanya kepada pemberita pada Program Bersama Komuniti Siam di Wat Siam Kampung Lampam, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Mujahid mendakwa Zakir Naik suka menerapkan kaedah menghina dan mencaci agama lain dalam ceramahnya yang dilihat tidak sesuai dengan Malaysia yang bertunjangkan kepelbagaian agama dan kaum.

Mujahid berkata demikian pada ucaptama Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat majmuk, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sementara itu, kerajaan dalam perancangan untuk mengajurkan Hari Kepelbagaian Budaya awal tahun hadapan dalam usaha mengeratkan lagi perpaduan yang sedia terjalin rakyat di negara ini.

"Ia masih diperingkat perbincangan dan kempen besar-besaran akan dilakukan untuk  menarik seramai mungkin rakyat semua kaum, budaya dan etnik ke program itu yang kita akan dimaklumkan tempat dan masanya kelak," katanya.

Terdahulu, Waythamoorthy mengambil kesempatan bertemu pemimpin masyarakat Siam bagi mendengar keluhan dan masalah mereka untuk dibawa dan diselesaikan di peringkat kerajaan.

Katanya, antara keluhan itu ialah hal-hal kebajikan masyarakat Siam, isu tanah pertanian, kewarganegaraan, pendidikan tinggi dan sosial. - Bernama