Ketika kejadian pukul 9.30 malam, mangsa, Rahimah Saadun, 31, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur mendaki gunung berkenaan bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, sejurus menerima laporan, anggota penyelamat ke tempat kejadian.

Katanya, lima anggota polis, lapan anggota Jabatan  Bomba dan Penyelamat dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bergegas ke lokasi.

"Pasukan penyelamat bergerak ke Lojing kira-kira pukul 9.55 malam dan sebaik tiba terus mendaki gunung berkenaan dengan dibantu rakan mangsa.

"Mangsa yang lemah ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa turun ke bawah. Kira-kira jam 7 pagi mangsa yang mendapat rawatan awal di Klinik Lojing dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, dia menasihatkan kumpulan pendaki melaporkan aktiviti mereka terlebih dahulu di mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, perkara itu memudahkan pihaknya membuat pemantauan dan bertindak segera jika berlaku kejadian tidak diingini terutamanya ketika cuaca hujan ketika ini.

"Kebanyakan rombongan yang membuat pendakian itu tidak melaporkan aktiviti mereka di balai polis, sedangkan di Lojing ada pondok Polis," katanya. - K! ONLINE.