Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, mangsa, Suria Awi, 46, dari Kuala Terengganu, disahkan meninggalkan dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Langkap ketika pasukan penyelamat menggunakan pengusung untuk membawa turun mangsa ke kaki gunung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa dikatakan mandi di sungai berkenaan selepas kumpulan itu berhenti rehat sebelum menyambung pendakian.

"Pihak bomba sempat membantu membawa mangsa turun dengan menggunakan pengusung dalam operasi yang mengambil masa kira-kira sejam 15 minit.

“Operasi mengalami kesukaran ekoran laluan sempit dan licin dalam keadaan hujan lebat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mustafa berkata, mangsa berjaya dibawa turun ke Lata Payung pada kira-kira pukul 3.30 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum lapan anggotanya dikerah ke lokasi kejadian.

Gunung Sarut berketinggian 1,229 meter dari paras laut dan menjadi lokasi pilihan pendaki kerana keindahan dan keunikannya termasuk air terjun Lata Payung. - Bernama