Difahamkan, wanita berusia 31 tahun itu bersama 12 rakannya melakukan aktiviti mendaki gunung berkenaan sejak kelmarin namun mangsa mengalami kecederaan di lutut ketika menuruni gunung tersebut dengan ketinggian 2,183 meter.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 1 pagi dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Unit Multi Skill Team (MUSTeam) segera ke lokasi kejadian.

"Mereka dibahagikan kepada dua pasukan dan masing-masing ditempatkan di kaki gunung serta padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra, Ipoh.

"Satu pasukan bergerak ke kaki gunung dan meneruskan pendakian ke Gunung Korbu untuk ke Kem Seroja yang menempatkan mangsa dan khidmat sebuah helikopter jenis AW 139 dari Unit Udara Bomba telah dipohon bagi menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mohamad Yunus, helikopter tersebut berlepas dari Pengkalan Udara Subang ke Gunung Korbu pada pukul 1.28 tengah hari dan mangsa dijumpai pada pukul 4.41 petang pada ketinggian 600 meter dari kaki Gunung Korbu.

"Anggota mengunakan teknik winching untuk menaikkan mangsa ke dalam helikopter dan mereka semua tiba di padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra kira-kira 20 minit kemudian.

"Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Katahya, operasi membawa keluar mangsa melibatkan 33 anggota termasuk enam orang daripada Unit Udara Bomba. - K! ONLINE