Secara peribadi, ia merupakan kali kelima penulis berada di puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu setinggi 4,095 meter dari aras laut.

Sejak kali pertama menawan khazanah negara yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) itu, penulis akui Gunung Kinabalu memiliki segala kesempurnaan untuk dinikmati.

Terletak di sebuah pekan kecil bernama Kundasang iaitu kira-kira 120 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, gunung penuh misteri itu mampu menghadiahkan 1001 pengalaman kepada para pendaki.

Bagi masyarakat Kadazandusun, gunung tersebut adalah tempat suci yang perlu dilindungi dan dihormati. Sebarang perbuatan yang berniat untuk merosakkan atau peribadi tidak senonoh adalah ditegah sama sekali.

Dikatakan bahawa perkataan Kinabalu itu asalnya merupakan perkataan masyarakat Kadazandusun yang dicampurkan antara perkataan Aki Nabalu, yakni Aki membawa maksud nenek moyang manakala Nabalu bererti gunung.

Ini membawa maksud bahawa gunung tersebut merupakan tempat persemadian roh-roh nenek moyang bagi masyarakat Kadazandusun.

Bagaimanapun, pada bulan Jun 2015, seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada gunung ini apabila berlakunya kejadian gempa bumi dengan kekuatan 5.9 skala Richter yang berpusat di Kundasang.

Tragedi hitam yang berlaku pada pukul 7.15 pagi itu bukan sahaja me­ragut 18 nyawa, malah turut mening­galkan ‘parut’ kecil pada landskap Gunung Kinabalu sehingga memaksa semua aktiviti pendakian dihentikan selama beberapa bulan.

Penulis yang terlibat dalam membuat liputan kejadian itu turut menyaksikan sendiri kesedihan yang dialami oleh masyarakat Sabah khususnya penduduk asal Kundasang.

Kehidupan mereka menjadi kelam kabut, sumber pelancongan yang menjana pendapatan jatuh mendadak dan berlakunya bencana susulan seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.

Namun, selepas hampir enam bulan ‘berkabung’, Gunung Kinabalu yang selama ini suram kembali ceria apabila pihak Taman-Taman Sabah iaitu agensi bertanggungjawab ke atas khazanah ini kembali membuka pintu untuk semua aktiviti pendakian.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Taman-Taman Sabah yang diketuai Dr. Jamili Nais pantas menggerakkan perancangan untuk memulihkan semula landskap Gunung Kinabalu.

Dengan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dan kementerian berkaitan, pelbagai pelan pembangunan telah dilaksana termasuklah menaik taraf infrastruktur di sepanjang pendakian selain penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang dianggotai malim gunung.

Kejayaan ini membuktikan kesungguhan Taman-Taman Sabah dalam memastikan Gunung Kinabalu terus terpelihara dan tidak dilupakan oleh para pencinta alam.

Untuk rekod, selain Taman Kinabalu yang menempatkan Gunung Kinabalu, lapan lagi taman yang berada di bawah jagaan Taman-Taman Sabah ialah Taman Bukit Tawau, Taman Banjaran Crocker, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Sipadan, Taman Pulau Penyu, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Tun Mustapha.

Bagi pendaki pula, tanggungjawab untuk memelihara khazanah alam seperti Gunung Kinabalu adalah satu kewajipan demi memastikan kesinambungan generasi akan datang.

Persoalan sama ada sampai ke titik puncak ataupun tidak bukanlah satu matlamat, tetapi lebih pen­ting daripada itu ialah bagaimana seseorang itu mampu menikmati pendakian tanpa merisikokan diri sendiri.

Penakluk pertama Gunung Eve­rest iaitu puncak tertinggi di dunia, Sir Edmund Hillary pernah ditanya wartawan me­ngenai perkara yang paling ditakutinya dalam menjelajah alam.

Pendaki kelahiran Auckland, New Zealand itu mengaku dia tidak pernah takut pada binatang buas, jurang yang dalam, bongkahan ais atau padang pasir yang luas.Menurut Hillary, sebutir pasir yang terselit di celah-celah kaki itulah yang paling ditakuti.

“Sebutir pasir yang masuk di ce­lah-celah kaki sering kali menjadi petanda awal malapetaka. Ia boleh masuk ke kulit kaki atau menyelusup melalui kuku.

“Lama kelamaan jari kaki akan terkena jangkitan lalu membusuk. Tanpa sedar, kaki tidak dapat digerakkan dan itulah malapetaka bagi seorang penjelajah kerana dia perlu diusung,” katanya.