Suspek ditahan kira-kira pukul 3.25 pagi selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik rumah sarang burung berkenaan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pemilik berkenaan menyedari kejadian itu selepas dia terdengar bunyi alat penggera.

"Pemilik berkenaan berjaya menahan suspek berusia 22 dan 25 tahun itu sebelum mereka diserahkan kepada polis.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan tali untuk memanjat bangunan itu dan masuk melalui lubang keluar masuk burung walit di tingkat tiga," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, pemilik terbabit mengadu mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

"Polis telah merampas sebungkus plastik berwarna hijau mengandungi sarang burung walit disyaki dicuri, seutas tali, sebatang besi boleh laras, dua helai sarung muka, sebuah lampu suluh, beg galas dan dua alat yang diubah suai untuk mengambil sarang burung," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetemine.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE