Tertuduh yang juga bapa berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Bagaimanpun, mahkamah menetapkan 17 September ini untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai hak jagaan ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun tiga bulan telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu dengan kesan rotan di tangan kanan.

Pertuduhan kedua tertuduh sebagai orang yang mempunyai hak jagaan sama ke atas anak perempuannya yang berusia enam tahun lapan bulan telah menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak itu dengan kesan rotan dibahagian belakang badan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 10 pagi di sebuah unit rumah pangsapuri di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini pada 12 Mei lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd. Jafri memohon mahkamah menetapkan satu tarikh singkat bagi fakta kes dan jatuh hukum.

Mahyon yang mendengar permohonan pihak pendakwaan kemudian menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes dan jatuh hukum.

Semasa prosiding, Mahyon turut bertanya kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam itu adakah dia mempunyai penjamin dan tertuduh menjawab dia tiada penjamin.

"Oleh kerana tiada penjamin jadi kamu akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu untuk sebutan semula kes pada 17 September ini," kata Mahyon. - K! ONLINE