Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 2.15 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika serbuan dilakukan, pintu rumah tersebut dalam keadaan berkunci sebelum anggota memperkenalkan diri sebagai polis.

"Pintu kemudian dibuka seorang lelaki dan pemeriksaan fizikal terhadap suspek dan kawasan di dalam rumah tidak menemui barang salah.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui satu beg plastik hitam di atas tanah di bahagian belakang sebelah kanan rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, beg plastik itu mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 456.5 gram.

"Kita turut merampas wang tunai sebanyak RM2,000," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- K! ONLINE