Beliau berkata, mereka yang ingin menganjurkan ceramah hanya perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa agama di negeri berkenaan supaya penganjur dan penceramah yang diundang dipastikan tidak mempunyai rekod menimbulkan masalah dari sudut agama, kaum dan keselamatan.

"Kami menggunakan dasar terbuka dan tiada halangan kepada mereka untuk berceramah asalkan mematuhi garis panduan tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Peruntukan e-Khas) bernilai RM110,000 kepada 13 NGO dari Selangor di sini hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan menghalang penceramah agama kontroversi Zakir Naik daripada menyampaikan kuliah di negara ini, Mujahid berkata, Zakir tidak dihalang daripada berceramah selagi kehadirannya tidak menimbulkan masalah selain patuh kepada undang-undang negara ini.

Berhubung dakwaan kerajaan India bahawa ceramah Zakir lebih berbentuk kebencian, Mujahid berkata, bagi Wilayah Persekutuan yang terletak di bawah bidang kuasanya selaku menteri, pihaknya tidak menemui sebarang isu berkaitan penceramah tersebut. - Bernama