Selepas berpuluh-puluh tahun menghadap bos dan me­lakukan rutin harian yang sama, sudah tentu membosankan. Justeru apabila tiba waktu persaraan, hidup ini ibarat ‘syurga’.

Kehidupan akan lebih menyeronokkan apabila menerima pencen bulanan yang tinggi dan mempunyai wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang banyak.

Namun begitu, dunia persaraan boleh bertukar mimpi ngeri apabila orang pencen tiba-tiba menghidap pelbagai penyakit. Penyakit paling popular adalah tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Lebih menakutkan apabila menghidap penyakit kronik seperti kanser, buah pinggang dan strok. Tiada guna wang menimbun tetapi semuanya terpaksa dibelanjakan untuk mengubati penyakit.

Beruntunglah jika semua orang mampu kekal sihat dan cergas seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini berusia 93 tahun. Beliau mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri paling tua di dunia.

Mahathir adalah insan istimewa berbanding individu lain seusia dengannya. Misalnya, bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton yang berusia 71 tahun dilaporkan sedang bertarung dengan komplikasi jantung.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon meninggal dunia pada tahun 2014 ketika berusia 86 tahun selepas menderita penyakit strok berdarah. 

“Saya nasihatkan supaya jangan berehat apabila sudah tua.
“Jika anda berehat, anda akan menjadi lemah dan tidak berdaya dan mungkin menjadi nyanyuk. Teruskan menjadi aktif,” kata Mahathir ketika lawatannya sempena Persida­ngan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 di Tokyo pada Jun lalu.

Sebab itu kita lihat orang yang sudah pencen masih be­kerja walaupun berusia 60 tahun ke atas kerana jika duduk di rumah sahaja, pasti pelbagai penyakit akan datang.

Begitupun, tidak banyak syarikat yang mahu mengambil mereka bekerja waima baru berusia 50 tahun ke atas kerana rakyat Malaysia dilaporkan cepat tua.  

Berbanding di Jepun, negara itu mempunyai kadar penyertaan lelaki dan wanita berusia 65 tahun ke atas yang tertinggi dalam tenaga buruh dunia.

Jepun mempunyai majoriti masyarakat yang tidak me­nua apabila mereka yang berumur 65 tahun ke atas tidak dianggap sebagai tua kerana kekal sihat dan mampu bekerja. 

Tahap kesihatan masyarakat Jepun yang baik dipe­ngaruhi gaya hidup mereka yang aktif. Mereka membiasakan diri dengan berjalan kaki ke mana-mana sahaja. 

Tidak seperti rakyat Malaysia, kalau boleh mahu meletakkan kenderaan di hadapan pintu kedai yang dituju.
Gaya hidup sihat perlu dijadikan amalan sejak muda lagi.

Apa yang dilakukan hari ini dan makan hari ini akan menentukan tahap kesihatan kita pada masa depan.

Kehidupan selepas bersara akan mengubah cara hidup seseorang daripada sibuk setiap hari kepada duduk goyang kaki sahaja makan duit pencen.

Orang pencen perlu ada hobi mereka sendiri, tidak kira­lah berbasikal atau mendaki gunung agar mereka terus kekal cergas.

Kajian Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya mendapati rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun hari ini dijangka hidup sekitar usia 80 tahun, tambahan 20 tahun selepas umur persaraan wajib.

Tempoh 20 tahun itu pun sebenarnya sukar dicapai kerana apabila mencecah usia 60 tahun, pelbagai penyakit dihidapi.

Bagaimanapun, penuaan itu bukanlah suatu perkara yang menakutkan. Ia perlu dipandang positif dengan sentiasa cerdas dan sihat, seronok dengan diri sendiri serta menjalani kehidupan penuh bermakna sebagai warga emas.