Majlis itu diadakan di surau sekolah berkenaan pagi tadi dan solat hajat diimamkan oleh imam Masjid Al-Ubudiyah Seksyen 19, Abd. Rashid Omar.

Penolong Kanan SMK Seksyen 19, Tuan Saripah Tuan Jaafar berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai satu daripada usaha memohon keselamatan untuk rakyat dan murid di Pasir Gudang yang terlibat. 

"Memang sekolah ini setiap hari Jumaat kami adakan bacaan Yasin tetapi hari ini kami buat solat hajat sekali kerana kami tidak dapat hadir ke sana dan kami berharap dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka," katanya kepada pemberita.

Kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menyebabkan lebih 3,000 orang awam dan pelajar sekolah menerima rawatan sementara 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta. - Bernama