Tinjauan Bernama di sekitar Taman Pasir Putih dan Kampung Bukit Pulai, mendapati ramai yang tidak mengunakan topeng hidung dan mulut ketika kerja-kerja pembersihan sisa kimia di tempat mereka.

Salah seorang penduduk kampung yang hanya dikenali sebagai Samad, 33, berkata, dia berani membuka topeng hidung dan mulut kerana keadaan telah bertambah baik walaupun masih terdapat bau bahan kimia.

"Jika dibandingkan dengan hari pertama kejadian, keadaan sungai berwarna hitam, namum hari ini sungai dah kembali dalam warna asal. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak memakai topeng hidung dan mulut kerana ia merimaskan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rabu lepas, susulan kejadian pencemaran itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengingatkan orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan Pasir Gudang supaya melakukan pencegahan dengan mengelakkan daripada berada sekitar kawasan kejadian serta memakai topeng muka jenis R95.

Sementara itu, rakan Samad yang hanya ingin dikenali sebagai Sofi, 43, pula berkata, dia tidak memakai topeng hidung dan mulut kerana harganya tinggi.

"Pihak berkuasa minta kita pakai topeng hidung jenis R95 tapi harga sekitar RM18 satu dan perlu ditukar setiap hari dan membebankan kepada orang seperti saya yang bekerja sendiri," katanya.

Dia berharap pencemaran di Sungai Kim Kim dapat diselesaikan segera agar orang kampung dapat meneruskan aktiviti harian dengan selesa seperti biasa.

Sofi bagaimanapun memuji kesungguhan yang ditunjukan oleh pihak kerajaan dalam membersihkan sungai Kim Kim agar kembali bersih seperti biasa. - Bernama