Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat tentang masalah sebenar yang dihadapi Irfan Wafiy.

"Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan juga sentiasa memantau keadaan adik Irfan Wafiy.

"Kita akan adakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat, akan pastikan apa yang mereka perlukan dan lihat apa sebenarnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kehidupan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia di sini yang dahulunya riang berubah apabila dia disahkan menghidap penyakit saraf, Myo Kimia.

Menurut ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, Irfan Wafiy tidak boleh berjalan dengan betul sebaliknya terpaksa melangkah perlahan-lahan dan kadang-kadang terpaksa menyeret kakinya.

"Apabila berjalan terlalu lama, kedua-dua belah kakinya akan cepat letih, lenguh, sakit dan menggigil terutama kaki kiri serta tidak boleh lagi berlari, hanya berjalan mengensot-ngensot," katanya. - K! ONLINE