Namun kini, segalanya berubah apabila Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, disahkan menghidapi penyakit Myo Kimia yang disahkan pihak hospital yang berpunca daripada kesan pencemaran kimia dari Sungai Kim Kim.

Irfan Wafiy merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling lama dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru iaitu kira-kira 10 hari dan insiden itu seakan-akan meragut kehidupan normalnya dan masa depannya. 

Menurut ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, kehidupan anak keempat dari lima beradik itu yang dahulunya periang kini bertukar suram.

"Irfan Wafiy tidak boleh berjalan dengan betul sebaliknya terpaksa melangkah perlahan-lahan dan kadang-kadang terpaksa menyeret kakinya.

"Apabila berjalan terlalu lama, kedua-dua belah kakinya akan cepat letih, lenguh, sakit dan menggigil terutama kaki kiri serta tidak boleh lagi berlari, hanya berjalan mengensot-ngensot," katanya ketika ditemui di SK Taman Dahlia di sini hari ini.

Norlela berkata, pergerakkan Irfan Wafiy amat terbatas, contohnya jika berada di rumah dia akan menggunakan kerusi roda, solat juga dalam keadaan duduk dan apabila berdiri terketar-ketar serta tidak stabil.

Jelasnya, murid darjah enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu kini masih mendapat rawatan susulan daripada lapan pakar di HSI. - K! ONLINE.