Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Media, Korporat dan Penerbitan HSK 2019, Khairiah Mohamed berkata, pencarian tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang masing-masing itu terbuka kepada semua wanita sama ada yang lahir ataupun bermastautin di negeri ini.

 Beliau berkata, anugerah dibahagikan dalam dua bahagian utama iaitu tokoh bagi yang berumur 40 tahun ke atas manakala ikon pula adalah bagi calon berusia 39 tahun ke bawah.

 "Kami mencari tokoh dalam enam kategori iaitu Tokoh Siti Khadijah Khuwailid (Keusahawanan); Tokoh Siti Aisyah Abu Bakar (Pendidikan); Tokoh Siti Aminah Abdul Wahab (Ibu Tunggal); Tokoh Zinnirah Al Rumiyah (Orang Kurang Upaya (OKU)); Tokoh Zainab Khuzaimah (Kemasyarakatan) dan Tokoh Al-Khansa’ Amru (Kesenian).

 "Kita juga meminta orang ramai mencalonkan nama-nama wanita muda yang berjaya dan boleh diiktiraf sebagai ikon usahawan, pendidikan, OKU, kemasyarakatan, kesenian dan sukan," katanya di sini hari ini. 

 HSK 2019 adalah program mengiktiraf sumbangan wanita yang dianjurkan kerajaan negeri sejak 2015. Program tahun ini yang berskala antarabangsa bakal berlangsung dari 23 Jun hingga 27 Jun ini. 

 Untuk rekod, pada tahun lalu, antara penerima anugerah pada HSK 2018 adalah qariah terkenal negara, Datuk Faridah Mat Saman yang menang kategori Tokoh al-Khansa' Amru.

 Sementara itu, Khairiah berkata, tarikh menghantar senarai calon sepatutnya berakhir esok namun ia dilanjutkan hingga 9 Mei ini bagi memberi peluang lebih ramai calon yang layak untuk dipertimbangkan.

 Jelasnya, senarai nama calon boleh diserahkan kepada Pejabat Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa) di sini atau hubungi talian 09-7476568 atau 013-9846914 untuk maklumat lanjut. - K! ONLINE