Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, inisiatif  baharu yang telah dijalankan oleh RP TH sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk penubuhan Pusat Rawatan Syisyah dilihat telah berjaya mencapai objektif dalam mengurangkan bilangan jemaah yang jatuh sakit dan meninggal dunia semasa di tanah suci.

"Pusat rawatan ini telah ditubuhkan dua tahun yang lalu dan penambahbaikan yang dilakukan pada tahun ini adalah perkhidmatan pembedahan mini, bilik isolasi dan dua buah ambulans mini," katanya kepada media selepas melawat Pusat Rawatan TH Syisyah di sini, hari ini.

Katanya, berbanding dua tahun lepas, perkhidmatan di pusat rawatan itu telah banyak dipertingkatkan dari segi kualiti supaya jemaah haji Malaysia boleh mendapatkan khidmat perubatan yang terbaik di tanah suci dengan percuma

Mujahid berkata, Program Safari Wukuf yang diperkenalkan bermula 2016 juga dilihat telah berjaya membantu para pesakit yang tidak mampu untuk berjalan untuk hadir di Padang Arafah semasa waktu wukuf dengan menaiki bas yang telah diubah suai menjadi hospital bergerak. - Bernama