Ia antara pendekatan agensi tersebut bagi membantu para penagih untuk dipulihkan berbanding sekiranya ditangkap dan dikenakan hukuman pemulihan oleh mahkamah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sehubungan itu kerjasama daripada keluarga dan masyarakat amat diperlukan bagi membantu golongan penagih tampil secara sukarela.

Menurut beliau, bagi menjayakan program ini pihaknya mengenal pasti 12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah melibatkan tujuh buah negeri sebagai projek rintis selama enam bulan.

“Antaranya di Kedah iaitu di Kota Setar, Kuala Kedah dan Langkawi, Selangor (Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Petaling), Johor (Johor Bahru dan Batu Pahat), Kuala Lumpur (Sentul), Kelantan (Kota Bharu), Terengganu (Dungun) dan Pahang (Rompin).

“Menerusi pemantauan kita menganggarkan terdapat 3,000 penagih di kawasan-kawasan ini untuk dibantu, justeru kita menyeru mereka tampil secara sukarela bagi dipulihkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Kursus Pengurusan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraam Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seramai 49 orang pegawai kanan agensi tersebut termasuk pengarah-pengarah AADK negeri hadir pada program dua hari itu yang melibatkan sesi penerangan daripada pakar-pakar berhubung penggunaan media sosial.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, secara peribadi beliau kurang berpuas hati dengan jumlah penagih yang tampil secara sukarela kerana kecil berbanding seramai 331 orang yang ditahan semasa operasi di 12 kawasan berkenaan.

Ini kerana katanya, objektif program tersebut adalah untuk mengurangkan jumlah penagih di kawasan terbabit.

“Penagihan dadah bukan perkara yang sepatutnya dimalukan terutamanya keluarga. Mereka yang ada masalah dadah perlu tampil, serah diri untuk dibantu pulih,” ujarnya. - K! ONLINE