Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, penagih dadah berusia 43 tahun berkenaan bertindak demikian kerana berang apabila bapanya berusia 70 tahun menutup televisyen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek telah mengugut mahu membunuh kedua ibu bapanya sambil mengacukan pisau.

"Punca kejadian adalah kerana bapanya menutup televisyen dan masuk ke dalam bilik tidur berikutan tidak mahu mendengar suspek membebel.

"Suspek telah bertindak agresif dan dia sememangnya seorang panas baran dan kerap mengamuk sesuka hati kerana menagih dadah," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, lelaki tersebut telah merosakkan televisyen berkenan selain sebuah kipas angin yang berada di ruang tamu sebelum meluru masuk ke dalam bilik orang tuanya.

"Dalam keadaan berang, suspek telah mengugut mahu bunuh ibu bapanya itu dan mahu bakar rumah sambil memegang sebilah pisau yang diacukan ke arah mereka," katanya.

Noorzainy berkata, polis telah menahan suspek di rumahnya selepas menerima laporan berhubung kejadian itu semalam bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek yang positif syabu dalam ujian saringan awal air kencing itu didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE