Afiq Ali, 27, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 9.00 pagi, dia bersama seorang rakan dalam perjalanan menuju ke pantai Teluk Mempelam dan pantai Gua Cherita dari Jeti Pelancongan Sungai Kilim.

“Kira-kira dua kilometer dari Jeti Pelancongan Sungai Kilim di satu lokasi dikenali sebagai Pintu Kilim, saya melihat sebatang kayu yang biasa digunakan untuk mengikat pukat bergerak perlahan di depan bot,” katanya di sini semalam.

Afiq berkata pada masa yang sama, beliau nampak dua atau tiga ekor ikan lumba-lumba lain berenang-renang berhampiran kayu itu.

“Melihat keadaan itu, saya dapat rasakan ada ikan lumba-lumba yang tersangkut pada kayu yang bergerak itu. Saya terpaksa mengemudi bot hampir 30 minit sebelum berjaya memegang kayu itu kemudian tarik ikan tersebut ke atas untuk potong tali yang terbelit pada mulut,” katanya.

Afiq berkata, sewaktu proses memotong tali itu, dia ada ternampak kesan luka pada badan ikan lumba-lumba itu dipercayai akibat terkena pukat.

“Mungkin tali yang digunakan untuk mengikat pukat pada kayu itu putus dan dibawa arus ke kawasan lain sebelum terbelit pada mulut ikan lumba-lumba berkenaan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengemudi bot pelancong. – Bernama