Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika pemuda terbabit, Muhammad Alif Aiman Anuar, 21, membonceng motosikal jenis Sym ditunggang rakan lelakinya berusia lingkungan 20-an.

Ibu kepada pemuda itu, Hashimah Mahmood, 49, mendakwa, anaknya ditembak kerana rakannya enggan memberhentikan motosikal walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh anggota polis terbabit.

“Anak saya beritahu mereka dikejar anggota polis bermotosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

“Rakan anak enggan memberhentikan motosikal walaupun telah diminta anak kerana terlalu panik disebabkan tidak mempunyai lesen memandu,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dakwanya, tembakan itu mengakibatkan anaknya terjatuh daripada motosikal dan anggota polis trafik kemudian menahan kedua-dua mereka dan membuat pemeriksaan ke atas beg tetapi tidak menemui barang salah.

“Anggota polis itu kemudian berlalu pergi dan anak saya yang dalam keadaan berlumuran darah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini oleh majikannya,” dakwanya.

Hashimah berkata, tindakan anggota polis itu tidak wajar kerana melepaskan tembakan hanya kerana motosikal dinaiki anaknya enggan berhenti.

“Tahan dan saman sahaja, bukannya melepaskan tembakan seperti anak saya melakukan jenayah berat,” katanya.

Tambahnya, kejadian berlaku ketika anak ketiga daripada lima beradik yang bekerja sebagai tukang paip itu dalam perjalanan untuk memasang paip di sebuah rumah berdekatan.

“Saya sedih mengenangkan nasib anak yang mungkin cacat akibat tembakan pada tangannya itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.-K! ONLINE