Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, Muhammad Nur Afifi Abdul Rahman, 23,  yang dikatakan baru menamatkan pengajian di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Nur Afifi dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mesra 3, Jalan Balai Besar, Dungun dari daerah ini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan hingga menyebabkannya terjatuh.

"Mangsa kemudiannya telah terseret sejauh kira-kira 26 meter di bahagian kiri laluan lebuh raya terbabit," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kerteh dekat sini yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Muhammad Nur Afifi telah meninggal dunia. - K! ONLINE