Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi sewaktu mangsa, G. Arulkumar, 23, yang memandu kereta jenis Honda Accord sendirian sedang dalam perjalanan menghala ke pusat bandar.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu oleh mangsa dari Lebuh Raya Persekutuan dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas lalu terbalik di bahu kiri jalan.

"Susulan kejadian tersebut, mangsa yang menetap di Keramat Wangsa di sini kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah pada kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut  Zulkefly, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan siasatan berhubung kejadian masih diteruskan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau.