Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, yang kisahnya tular baru-baru ini kerana tidak mencukupi wang untuk pendaftaran bagi melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Bangunan itu datang ke negeri ini bersendirian tanpa ditemani ibu bapa.

Muhammad Izzat berkata, dia ke Pulau Pinang seorang diri sejak kelmarin dengan menaiki bas dan menumpang di rumah bapa saudara di Bayan Lepas di sini.

"Saya datang sendiri kerana mahu jimatkan wang perbelanjaan dan saya berterima kasih kepada bapa saudara yang banyak membantu menguruskan pendaftaran saya ini.

"Saya bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian di USM walaupun sebelum ini hampir menangguhkan pengajian kerana tidak mampu membayar wang pendaftaran," katanya ketika ditemui ketika pendaftaran bagi sesi akademik 2019/2020 di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Muhammad Izzat yang merupakan anak penoreh getah di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang gigih mencari wang untuk menyambung pengajian di universiti dengan membantu ibunya menjaja petai dan sayuran kampung.

Anak ketiga daripada 12 adik-beradik itu bercadang menangguhkan pengajiannya selepas tidak mampu mengumpul wang pendaftaran untuk penyambung pelajaran.

Menurut Muhammad Izzat, dia merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan kepadanya selepas kisahnya tular di media sosial.

"Saya ingat saya tidak lagi dapat sambung belajar di USM namun dengan bantuan orang ramai saya dapat meneruskan cita-cita saya.

"Terima kasih kepada sesiapa yang telah membantu dan saya akan ingat pesanan ibu bapa agar belajar bersungguh-sungguh di sini," katanya.

Muhammad Izzat berkata, dia bercadang untuk melakukan kerja sampingan di USM bagi menampung perbelanjaan pengajian.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata,   4,684 pelajar baharu mendafar di tiga kampus USM bagi sesi berkenaan bermula hari ini. - K! ONLINE