Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, mangsa, Ng Yuan Heo, 22, yang berasal dari Jalan Siakap di sini mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam dengan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa sedang menungggang basikal dalam perjalanan ke sebuah restoran untuk membeli makanan.

“Tiba di tempat kejadian, mangsa didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan pisau.

“Mangsa diminta menyerahkan telefon bimbit miliknya namun dia enggan berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

tikam
Mangsa diberikan bantuan orang awam yang menemuinya dalam keadaan terbaring di atas jalan raya malam tadi.

 

Tambah Omar Bakhtiar, suspek cuba menakutkan mangsa dengan mengacah senjata tajam itu ke perutnya sekiranya dia tidak menyerahkan telefon tersebut.

“Bagaimanapun, acah-acah yang dilakukan suspek tersebut terkena perut mangsa sebelum kedua-dua suspek melarikan diri bersama telefon bimbit yang dirampas daripada mangsa.

“Mangsa yang cedera dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring di atas jalan sebelum dia dibawa ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Katanya, doktor yang merawat mangsa memaklumkan dia berada dalam keadaan stabil dan kecederaan yang dialaminya tidak serius.

“Polis sedang menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian tersebut. Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta tiada saksi orang awam yang melihatnya.

“Mangsa tidak dapat mengecam kedua-dua suspek kerana mereka menggunakan penutup muka topi keledar gelap dan motosikal ditunggang mereka juga tidak dapat dikenal pasti mangsa,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya telah meminta bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bagi mengesan lokasi nombor telefon mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api. - K! ONLINE