Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan memberitahu, selain maklumat pendapatan, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting lain termasuk maklumat perhubungan  seperti alamat, nombor telefon serta alamat e-mel dan maklumat pekerjaan.

"Peminjam boleh melayari www.ptptn.gov.my untuk mengemaskini maklumat atau menghubungi talian 03-21933000 untuk maklumat lanjut.

"Sekiranya peminjam tidak mengemaskini maklumat dalam tempoh yang ditetapkan, maka PTPTN menganggap mereka tidak berhasrat memohon penangguhan bayaran balik dan mereka tidak akan termasuk di dalam dasar baharu bayaran yang akan dibuat," katanya ketika sidang akhbar di Menara PTPTN di sini hari ini.

Wan Jan bagaimanapun memberitahu, tarikh penguat kuasaan penangguhan bayaran tersebut belum ditetapkan tetapi perkara tersebut akan diumumkan sebelum 17 Ogos ini.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan adalah antara manifesto kerajaan Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini. - K! ONLINE