Beliau berkata, rancangan perolehan aset untuk ketiga-tiga cabang ATM juga telah didaftarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) mengikut keutamaan.

“Proses perolehan ini akan dilakukan secara berterusan mengikut keperluan dan keupayaan kewangan negara pada masa kini.

“Kementerian Pertahanan dan ATM sedia maklum mengenai keadaan negara yang menghadapi kekangan kewangan serta langkah-langkah penjimatan yang sedang diamalkan kerajaan,” katanya pada wawancara khas bersama media sempena Hari ATM ke-86, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, pembangunan perolehan dan naik taraf aset ATM turut disentuh dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) supaya ia lebih telus, keterbukaan bagi mengelak ketirisan.

Zulkifli berkata, bagi merealisasi perkara itu, keperluan untuk menaik taraf atau menambah mana-mana aset ketenteraan negara sama ada darat, laut atau udara perlu dilaksanakan mengikut keutamaan dan berpandukan kepada rancangan implementasi dalam KPP.

“Dalam hal ini, ATM melaksanakan pelbagai siri kajian kebolehlaksanaan dengan berpandukan kepada perbelanjaan berhemah, termasuklah dalam mengurus aset sedia ada dengan efektif, baik daripada segi kos penyelenggaraan, penggunaan optimun serta keperluan sebenar.

“Selain itu, ATM juga mengutamakan perancangan perolehan aset-aset baharu bagi menggantikan aset-aset yang telah usang dan tidak mempunyai kelebihan untuk menghalang, melumpuh serta memusnahkan musuh,” katanya.

Zulkifli berkata, perolehan aset-aset pertahanan perlu dirancang atau dicadangkan bagi keupayaan serta kesiapsiagaan ATM menghadapi ancaman masa kini dan akan datang.  -Bernama