Menteri sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata  tindakan akan diambil menurut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. Di bawah peruntukan ini, pemilik tanah juga boleh dikenakan tindakan sekiranya mendapati pembakaran terbuka berlaku di dalam kawasan tanah miliknya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata  JAS telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati kawasan kebakaran terletak di kawasan lereng bukit berhampiran Jalan Utara Ulu Yam-Gombak yang telah dijadikan tapak pelupusan haram.

Saiz kebakaran dianggar seluas satu ekar (0.4 hektar), katanya.

Beliau berkata  JAS sedang memantau kawasan tersebut bagi memastikan tidak pembakaran terbuka baharu di kawasan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kes-kes sedemikian kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. - Bernama