Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 22 dan 20 tahun itu dikeluarkan kira-kira pukul 11.40 pagi oleh Majistret Rini Triany Muhamad Ali di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Terdahulu, mereka tiba di mahkamah pukul 10.40 pagi dengan tangan bergari ditemani pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, pemilik syarikat itu ditahan pukul 5.25 petang semalam di sebuah restoran di Kota Damansara setelah meminta dan menerima RM5,000 daripada mangsa berusia 20-an sebagai bayaran pendahuluan daripada jumlah keseluruhan RM250,000.

“Kekasihnya yang merupakan pelajar kolej swasta di sekitar Lembah Klang ditahan pukul 1.30 pagi hari ini selepas hadir ke pejabat SPRM Selangor.

“Wanita itu dikatakan telah bersubahat dengan menyamar sebagai seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bernama Nadirah,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Sumber turut memaklumkan, berdasarkan siasatan awal mendapati wang suapan berjumlah RM250,000 diminta bagi 
mempercepatkan permohonan kad pengenalan mangsa yang mempunyai masalah status kewarganegaraan.

“Wang itu dikatakan akan diberikan kepada pegawai atasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” jelasnya. - K! ONLINE