Pemiliknya, Azrin Shala, 49, (gambar kecil) berkata, dakwaan yang disebarkan di media sosial termasuk warga emas yang menetap di premis itu dipukul dan diikat pada kerusi adalah tidak benar.

Beliau mengesyaki dakwaan itu ditularkan oleh dua bekas pekerja pusat jagaan warga emas itu yang berdendam dengannya kerana diberhentikan kerja baru-baru ini.

“Saya telah memberi keterangan kepada pihak polis malam tadi. Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) juga telah datang untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya serahkan kepada polis melakukan siasatan kerana saya juga telah membuat laporan polis berhubung perkara ini. Saya mahu perkara ini selesai secara aman kerana kasihan kepada penghuni yang berada di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di premis itu mendapati beberapa pegawai dan anggota polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memasuki pusat jagaan warga emas tersebut pagi ini untuk melakukan siasatan.

Dakwaan warga emas di pusat jagaan itu didera seperti dipukul, dikurung, diikat pada kerusi, dipaksa minum air kencing dan makan cili serta diberi ubat tidur tular di media sosial semalam.

Maklumat yang tular itu turut mendakwa seramai 16 warga emas telah meninggal dunia di pusat jagaan tersebut sejak tahun 2017.

Dalam pada itu, Azrin berkata, gambar warga emas lelaki tidak berpakaian di premis itu yang ditularkan di media sosial adalah kerana mereka sedang menukar lampin di dalam sebuah bilik.

Beliau seterusnya mendakwa rakaman video seorang kakitangan wanita seolah-olah mempermainkan seorang warga emas wanita di pusat jagaan itu sebenarnya sedang bergurau.

Tambah beliau, kematian yang berlaku di pusat jagaan warga emas itu juga tidak banyak seperti yang ditularkan dan punca kematian adalah disebabkan sakit tua.

Kata beliau, operasi pusat jagaan itu tidak terjejas disebabkan isu tersebut, malah waris penghuni premis berkenaan masih menaruh keyakinan kepada pusat jagaan itu.

“Kalau berdendam dengan saya datang ke sini berjumpa, bukan ditularkan seperti ini. Kasihan kepada 12 warga emas yang tinggal di sini.

“Mereka berusia lebih 60 tahun dan yang paling tua berumur 80-an. Sebahagian mereka sudah jadi pelupa dan ada juga yang agresif,” katanya. -K! ONLINE