Menurut Amirudin, Shaharudin merupakan seorang ahli akademik yang terkemuka dan telah banyak berjasa kepada bidang pendidikan. 

Katanya, Allahyarham telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi MARA dan juga merupakan Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL). 

 "Jasa dan pengorbanan beliau sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai. 

 "Allahyarham juga merupakan sahabat rapat saya dan rakan seperjuangan dalam politik. Genap sebulan setelah pemergian Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu, kini saya menerima ujian kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan,"katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. 

Amiruddin berkata, sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shaharuddin banyak berkongsi pendapat hasil pengalaman luas sebagai aktivis semasa di dalam pergerakan ABIM. 

"Dengan khidmat bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan Allahyarham semasa hayat beliau, pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor. 

"Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham.

Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini,"katanya. 

Shaharudin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 6.28 petang tadi. - K! ONLINE