Beliau berkata, bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

"Kita mahu lebih ramai pelajar (mengambil TVET) dan kita mahu mempermudahkan, tak kisah jika mereka berkelulusan UEC atau pelajar dari sekolah Cina atau Tamil, semua orang boleh ambil TVET.

"Ini kerana ketika ini kerajaan memperuntukan lebih kurang RM4 bilion setahun dalam bidang TVET, jadi kita perlu lebih ramai golongan muda menyertai TVET kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Perak anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Sijil UEC ialah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina. - Bernama