Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, pelanjutan kebenaran bekerja kepada pekerja asing yang memegang PLKS itu yang tempoh penggajian masuk tahun ke-10 itu akan dilaksanakan mulai 1 Oktober ini.

"Kebenaran pelanjutan tempoh hanya terhad kepada maksimum tiga tahun sahaja dan diperbaharui pada setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kerajaan pada 29 Ogos 2018 lalu bersetuju memberi kelonggaran bagi melanjutkan tempoh kebenaran bekerja kepada pemegang PLKS dalam sektor formal yang dibenarkan sahaja iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari tidak termasuk sektor yang dibekukan dan syarikat-syarikat penyumberluaran (outsourcing).

"Ini bagi membolehkan majikan mengekalkan pekerja asing mereka yang telah pun mempunyai kemahiran," katanya. - Bernama