Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lim Siong Kim, 35, sejurus kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita, Teo Kang Ling, 35.

Siong Kim dituduh melakukan perbuatan itu di No. 17-01 Jalan Setia 3/5, Taman Setia Indah di sini pada pukul 8 pagi, 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adilah Nur Yahya manakala tertuduh diwakili peguam bela, G. Ravi.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pada 11 Jun lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita ditemui mati dengan tragis apabila mayatnya dibalut dengan kain kanvas plastik di dalam kotak dan disimen dengan kapur siling sebelum dibuang di tepi persimpangan jalan Taman Setia Indah di sini. - K! ONLINE.