Dalam mempertahankan tindakannya membeli tanah berkenaan, TH berkata pelaburan hartanah di TRX adalah antara strategi peruntukan aset TH yang menumpukan kepada pelaburan domestik serta meningkatkan pendedahan dalam sektor hartanah yang strategik untuk menjana pendapatan berulang serta mengoptimumkan prestasi kumpulan.

"Ia juga merupakan misi TH untuk memastikan kelangsungan dan keterlibatan umat Islam secara  berkumpulan dalam pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan," kata TH dalam satu kenyataan hari ini bagi menangkis dakwaan negatif pihak tertentu berhubung pembelian tanah itu.

TH berkata hasil keuntungan daripada pembangunan yang akan dilaksanakan nanti bakal memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit TH melalui penyediaan perkhidmatan haji di Tanah Suci secara percuma, subsidi haji, pengagihan hibah tahunan dan hibah haji.

TH menjelaskan tanah seluas 1.56 ekar di lokasi premium itu diperolehnya pada 2015 pada harga RM189 juta atau pada kadar RM2,774 satu kaki persegi, yang ketika itu, harga belian adalah di bawah nilai pasaran.

Kini, nilai tanah itu meningkat kepada RM205 juta atau RM3,002 satu kaki persegi yang mencatatkan peningkatan nilai sebanyak 8.2 peratus berbanding harga belian dengan menunjukkan  peningkatan nilai pulangan yang baik dalam masa singkat.

Menurut TH ia merancang untuk membangunkan tanah tersebut dengan nilai pembangunan kasar projek yang dianggarkan berjumlah RM900 juta. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah berkata pembelian tanah itu adalah berdasarkan penilaian jangka masa panjang.

Beliau berkata pembangunan bersepadu di TRX bakal menjadi sebuah Hab Kewangan Antarabangsa yang merangkumi konglomerat bisnes dan kewangan, serta pembangunan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.

"Kami yakin pembangunan ini akan mendapat sambutan yang baik daripada pasaran kerana ia akan dibina mengikut keperluan semasa selain dapat dijual pada harga yang kompetitif di lokasi yang premium," katanya dalam kenyataan itu. - Bernama